Sampel kuku, rambut Anwar akan dianalisis

MELAKA 14 Sept. - Polis akan mengambil sampel air kencing, kuku dan rambut Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dianalisis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bahawa dia mengalami keracunan arsenik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai berkata, sampel-sampel tersebut akan dianalisis di dalam dan luar negara untuk menyiasat kes tersebut yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 328 Kanun Keseksaan.

''Polis akan mengambil sampel air kencing Anwar dan mungkin juga sampel rambut dan kuku beliau bagi dianalisis oleh beberapa pihak termasuk kemungkinan menghantar sampel itu ke luar negara, selain di dalam negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sehari di sini hari ini.

Isu keracunan arsenik itu ditimbulkan oleh peguam Karpal Singh yang memberitahu mahkamah pada Jumaat lalu bahawa keputusan ujian air kencing yang dihantar ke Gribbles Pathology Laboratory di Melbourne, Australia menunjukkan Anwar keracunan arsenik.

Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sedang dibicarakan terhadap tuduhan meliwat bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar.

Mengulas lanjut isu tersebut, Norian berkata, siasatan polis itu dibuat berdasarkan laporan yang dibuat oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

''Siasatan terhadap kes itu akan mengambil masa kerana ia bergantung kepada hasil laporan daripada sampel-sampel (milik Anwar) yang dihantar untuk pemeriksaan tersebut,'' katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan terhadap kejadian tersebut bukan sesuatu yang rumit sebaliknya adalah suatu siasatan yang 'terus terang'.

Ditanya sama ada terdapat jawatankuasa khas ditubuhkan oleh pihak polis bagi menyiasat dakwaan tersebut, beliau berkata, perkara itu masih belum ditentukan.

''Di peringkat ini, saya tidak tahu sama ada jawatankuasa yang juga akan mengkaji latar belakang kejadian ini akan ditubuhkan atau tidak,'' katanya.

Namun begitu, beliau menjelaskan, bagi pihak polis, adalah jelas kes itu kini di bawah siasatan mereka memandangkan terdapat laporan yang dibuat oleh pihak yang mendakwa.

''Kita juga telah mengklasifikasikan laporan tersebut dan segala tindakan yang kita buat adalah berdasarkan siasatan biasa di bawah Kanun Atur Cara Jenayah,'' katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mangsor Ismail ketika dihubungi mengesahkan polis Selangor sedang menjalankan siasatan mengenai laporan yang dibuat oleh Anwar.

Memandangkan kes itu dilaporkan semasa Anwar menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Mangsor berkata, kes itu akan disiasat oleh polis Selangor.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada pihaknya telah ataupun akan memanggil sesiapa untuk membantu siasatan.

''Cukuplah kita katakan sekarang ini kita masih buat siasatan,'' ujarnya.

Sementara itu, Norian berkata, pihaknya akan tetap menjalankan siasatan walaupun Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd. Nor, dikatakan meminta maaf berhubung kejadian rusuhan yang dicetuskan oleh para penyokong Anwar di ibu negara, Sabtu lalu.

''Jika benar beliau ada meminta maaf, kita akan memasukkannya dalam laporan yang dibuat untuk dipertimbangkan oleh pihak pendakwa raya,'' katanya.

Dalam perarakan reformasi berhampiran Pasar Seni di Kuala Lumpur Sabtu lalu, Cif Inspektor Zaidy Haron telah diserang oleh penyokong Parti Keadilan sehingga menyebabkan beliau menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur.

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my

Anwar enggan beri kerjasama kepada penyiasat

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Kelewatan pasukan penyiasat mengenal pasti punca keracunan arsenik yang didakwa dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berpunca daripada keengganan bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberikan kerjasama kepada pasukan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, berdasarkan laporan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai, pasukan penyiasat yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamed Nor Rahim, sukar mendapatkan kerjasama daripada Anwar.

Katanya, dua hari lalu (Khamis), Norian telah melaporkan bahawa Anwar enggan membenarkan pasukan penyiasat mengambil contoh kuku dan rambutnya untuk ujian.

Anwar juga, kata beliau, enggan memberi keterangan kepada pasukan tersebut apabila diminta berbuat demikian.

''Dua hari lalu KPN ada beritahu saya bahawa Anwar enggan beri kerjasama apabila diminta untuk dapatkan kenyataannya dan enggan memberi contoh kuku dan rambutnya untuk ujian.

''Kita pun hairan juga. Kalau sudah sakit apa salahnya kalau orang hendak bantu untuk pastikan apa sebenar berlaku dan siapa yang bertanggungjawab.

Tetapi inilah masalah yang dihadapi oleh pihak yang membuat siasatan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan pihak-pihak tertentu bahawa siasatan tersebut mengambil masa yang lama.

Pada 10 September lalu, Anwar dimasukkan ke hospital selepas peguam belanya, Karpal Singh, membangkitkan bahawa dia disyaki mengalami keracunan arsenik selepas hasil ujian patologi mengesahkan kandungan arsenik dalam contoh air kencing Anwar lebih tinggi daripada kadar biasa dalam tubuh seseorang. Karpal turut mendakwa bahawa ia merupakan cubaan pihak tertinggi untuk meracun Anwar.

Sehubungan itu, Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan penubuhan sebuah pasukan bagi menyiasat tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan berhubung dakwaan Anwar diracuni.

Mengenai desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan memberitahu orang ramai hasil siasatan tersebut, Abdullah menegaskan, kerajaan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berkaitan kes itu daripada pengetahuan rakyat. Malah beliau memberi jaminan semua hasil siasatan akan diumumkan.

''Kalau hendak buat siasatan biar sempurna dan lengkap. Saya akan arahkan mereka (pasukan penyiasat) umumkan hasil siasatan apabila lengkap, biar orang tahu,'' tegasnya.

Bagaimanapun kata Abdullah, pada masa ini tiada apa yang hendak diberitahu kepada orang ramai kerana siasatan itu masih belum selesai.

UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

E-mail: online@utusan.com.my