Mengasak Gelombang Kedua Reformasi

Beberapa perkembangan terakhir negara menunjukkan gelombang kedua reformasi telah bermula dan ia nya akan semakin besar menjadi gelombang yang tidak mampu ditahan oleh jentera kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir.

Selepas beberapa bulan negara sepi dari jerit para demonstrator menuntut keadilan dan usaha-usaha reformasi digerakkan secara lebih tersusun menerusi ceramah, risalah, rumah ke rumah dan sebagainya untuk persiapan menghadapi pilihanraya yang semakin dekat, rakyat dikejutkan dengan tindakan kerajaan yang paling zalim setakat ini iaitu dakwaan Anwar mengenai keracunan arsenik.

Seperti biasa isu itu mengukuhkan lagi sikap jahat kerajaan kerana reaksi awal mereka bukan tertumpu kepada adakah benar dakwaan itu atau bagaimana Anwar boleh diracun tetapi kepada soal bagaimana peguam atau keluarga Anwar membawa keluar sampel untuk diuji di Australia.

Yang lebih baik dalam gelombang kedua ini ialah penyertaan pelbagai parti termasuk pimpinan Pas, Dap dan PRM dalam perhimpunan Ahad lepas yang mencatat sejarah sebagai yang kedua terbesar selepas perhimpunan terakhir Anwar sebelum ditangkap polis.

Pihak kami juga mengumumkan laman ini akan diteruskan selepas seminggu tidak mempunyai sebarang update kerana "masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan". Walaubagaimanapun pihak kami merumuskan berdasarkan penilain-penilaian yang diterima dari pembaca, laman ini perlu diteruskan dengan sebaiknya walau apapun risiko yang dihadapi oleh pihak kami.

Ditegaskan di sini bahawa kesemua pendedahan dan laporan yang dibuat sendiri adalah yang telah disahkan kebenarannya melainkan yang disiarkan di segmen Surat pembaca dan Pandangan. Surat-surat dan sumbangan daripada pembaca hanya akan disiarkan di segmen utama jika pihak kami berjaya mengesahkan kebenaran apa yang ditulis.

Meskipun terdapat beberapa kesukaran terutama masa dan tenaga kerja, apa yang penting bagi kami adalah pembaca mendapat analisa dan bahan yang disahkan dan bukannya dicipta oleh mana-mana pihak.

Diharapkan kembalinya laman ini dan laman-laman lain serta gelombang baru kebangkitan rakyat akan membawa kepada perubahan kerajaan dalam pilihanraya akan datang.

REFORMASI

REFORMASI

REFORMASI

Ketua Pengarang

Komen Anda